JOHOR BAHRU: Pusat Akuatik Arena Larkin, di sini yang ditutup sejak Ogos lalu bagi membolehkan kerja-kerja naiktaraf dibuat telah dibuka semula kepada umum, bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kerja naik taraf selesai sejak November lalu, manakala pemantauan dibuat sepanjang Disember.
“Pusat akuatik ini ditutup sementara susulan keadaan lantai yang dicemari kesan karat selain kejadian pencemaran bakteria e-coli yang berlaku pada Julai lalu.
“Kerja naiktaraf dan penggantian dua lantai kolam selesai dilaksanakan pemaju pada November lalu, manakala pemantauan berterusan menerusi pengambilan sampel air dibuat sepanjang Disember,” katanya.
Tambah Mohd. Hairi, hasil laporan berkala menunjukkan keputusan positif daripada segi bacaan bakteria dan klorin, sekaligus tidak menghalang kemudahan ini dibuka dan diguna orang awam.
“Sehubungan itu, Pusat Akuatik Arena Larkin kembali beroperasi dan dibuka semula kepada orang awam bermula hari ini. Ia beroperasi setiap hari kecuali Rabu untuk kerja-kerja pemberita menyeluruh.
“Orang awam diharap dapat menggunakan fasiliti ini mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan selain menjaga kebersihan diri bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” tambahnya.
Pada Julai lalu, media melaporkan 19 peserta terdiri daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam satu kejohanan renang yang diadakan di fasiliti berkenaan dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti muntah, demam dan kulit gatal.
Penggerak Daily