JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri ini bagi memastikan fasiliti sekitar projek Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru – Singapura tidak akan menyebabkan kesesakan jalan raya.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, terdapat keperluan untuk memastikan pergerakan trafik lancar di kawasan berkenaan yang dijangka akan siap pada 2026 nanti.
Katanya, kesesakan dijangka akan berlaku di pusat bandar Johor Bahru ekoran kemudahan RTS itu mampu menampung sehingga 10,000 penumpang dalam tempoh satu jam.
“Kita mempunyai perancangan untuk perkhidmatan Bas Rapid Transit dan juga perkhidmatan bas percuma bagi kawasan-kawasan seperti Kota Tinggi, Kulai, Gelang Patah dan juga Pontian.
“Namun ada keperluan untuk melihat kemudahan alternatif bagi memastikan penyuraian trafik yang lebih teratur sebagai pilihan pengangkutan tambahan kepada pengguna kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat perkembangan pembinaan bangunan baharu Persatuan Hakka Johor Bahru di Jalan Tampoi, di sini hari ini.
Tambah Ka Siong, projek pembinaan RTS itu kini berada pada tahap lebih 10 peratus dan ianya berjalan mengikut jadual dimana proses seterusnya adalah untuk menempatkan kemudahan-kemudahan asas di kawasan sekitar.
“Setelah proses itu dilaksanakan, projek pembinaan ini dijangka akan berjalan dengan lebih rancak. Saya percaya dalam tempoh 30 bulan akan datang struktur awam akan dapat disiapkan.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura minggu lalu yang memaklumkan perkembangan projek ini di negara itu juga berjalan lancar,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, setelah siap kelak projek itu dijangka akan memberi impak besar kepada penduduk negeri ini khususnya mereka yang kerap berulang-alik antara kedua-dua negara.
“Manfaatnya akan lebih dirasakan golongan rakyat negara ini yang bekerja di Singapura dan juga pelancong yang mengunjungi kedua-dua negara atas pelbagai sebab, termasuk hubungan kekeluargaan,” jelasnya.
Penggerak Daily