JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah memulakan inisiatif untuk menyediakan Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor bagi membantu pihak berwajib melakukan langkah intervensi bagi golongan berkenaan berdikari dalam masyarakat setempat.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, golongan gelandangan bukan sahaja memerlukan bantuan makanan tetapi lebih daripada itu.
Ujarnya, ini termasuklah bantuan daripada sudut rawatan psikologikal dan sokongan kemahiran untuk kembali bekerja.
“Langkah intervensi menyeluruh ini merupakan antara solusi bagi membantu gelandangan untuk keluar daripada kitaran kesusahan agar mampu meneruskannya kehidupan seperti individu lain.
“Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor ini dijangka akan siap dibangunkan menjelang tahun 2022. Sehubungan itu MBJB mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuklah agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menjayakan objektif ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Adib Azhari, dianggarkan terdapat seramai 340 gelandangan di sekitar bandar raya ini khususnya pada hujung minggu yang memerlukan bantuan makanan secara berterusan.
“Hasil sumbangan dan bantuan pelbagai pihak, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Johor mempunyai kapasiti untuk menyediakan sebanyak 200 makanan sehari dengan pemberian sebanyak tiga kali sehari.
“PBSM telah mengatur jadual pemberian makanan kepada gelandangan dengan kerjasama pelbagai pihak untuk mengisi slot ditetapkan bagi memastikan tiada pembaziran makanan berlaku selain tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pada malam tahun baharu yang lalu, PBSM melaporkan berlaku lambakan makanan iaitu sebanyak 3,200 bungkusan yang diedarkan pelbagai pihak termasuklah NGO, pihak swasta dan orang perseorangan.
“Situasi ini berlaku kerana tidak ada penyelarasan yang baik dalam agihan makanan. Sehubungan itu MBJB berharap mana-mana pihak yang mahu menyumbang boleh menjalin kerjasama dengan PBSM,” tambahnya.
Dalam masa sama MBJB turut mengingatkan golongan gelandangan agar sentiasa menjaga kebersihan bandar raya Johor Bahru dengan tidak membuang bekas makanan merata-rata.
Penggerak Daily