Categories
Berita Jenayah

RAMAI SELEBRITI DAN AHLI PERNIAGAAN TERBABIT MACAU SCAM

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa yang akan dipanggil, namun siapa yang makan cili pasti rasa pedas,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.
Beliau berkata demikian berhubung berapa ramai selebriti dan ahli perniagaan yang berada dalam radar agensi terbabit susulan terbongkarnya kegiatan ‘cuci’ duit haram diperolehi daripada sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian membabitkan golongan itu.
Azam mendedahkan sindiket terbabit menyerahkan wang dalam bentuk tunai kepada individu terbabit untuk ‘dicuci’ menerusi operasi perniagaan sah.
“Dalam kes sebegini, ada juga sindiket yang bertindak sebagai peminjam seperti along kepada individu berkenaan. Dari segi luaran, perniagaan itu mungkin nampak ia adalah sah melalui perolehan perniagaan tetapi ia adalah sebaliknya,” katanya dalam temu bual secara langsung pada slot ‘SPRM 360’ di MACCfm.
Sehubungan itu, SPRM meminta individu yang pernah menerima wang daripada mereka yang ditahan agensi terbabit tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.
Azam berkata, pihaknya mempunyai senarai individu yang dipercayai dengan kegiatan itu.
“Mereka yang mungkin pernah menerima (dana) daripada individu yang ditahan itu diminta tampil sebelum mereka dipanggil.
“Tidak perlu tunggu untuk dipanggil sebaliknya tampil beri kerjasama kepada kami dan kami akan melayan mereka dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, siasatan rumit dan beliau berharap orang ramai bersabar kerana SPRM masih lagi mengesan banyak aset yang dipercayai sudah digubah.
“Dalam siasatan ini didapati beratus-ratus syarikat ‘dummy’ yang sengaja diwujudkan untuk menyalurkan wang haram ini,” katanya.
Menurutnya, seramai lapan pegawai kerajaan dari agensi penguat kuasa sudah ditahan dan sedang disiasat kerana disyaki
memberi perlindungan kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan ini.
Sumber: #inforoadblock

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *