JOHOR BAHRU: Hanya kerana takut dimarahi bapa akibat kehilangan selipar ketika bermain, seorang kanak-kanak perempuan orang asli mendakwa dirinya diculik seorang lelaki bertopeng ninja.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perkara itu didedahkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu selepas soal siasat dilakukan terhadapnya.
Katanya, polis menerima laporan seorang wanita memaklumkan anaknya hilang didakwa diculik seorang lelaki pada 6 Oktober lalu.
“Menurut pengadu, pada pukul 3 petang 6 Oktober lalu, dua anak kembarnya telah pergi ke kedai berhampiran rumah, dimana seorang daripada mereka masuk ke dalam kedai dan seorang yang lain menunggu di luar.
“Apabila kembar yang berada di dalam kedai selesai membeli barang, dia mendapati kembarnya yang menunggu di luar sudah tiada dan pulang memaklumkan pengadu perkara tersebut.
“Pengadu yang bimbang bertindak mencari anaknya sebelum membuat laporan polis dua kemudian. Tidak lama selepas itu anaknya ditemui orang awam dalam keadaan baik dan selamat di kawasan berhampiran.” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, kanak-kanak yang hilang itu mendakwa dia telah diculik seorang lelaki bertopeng ninja yang membawanya ke sebuah rumah sebelum dia melawan dan berjaya melarikan diri.
“Siasatan lanjut dijalankan polis akhirnya mendedah perkara sebenar bahawa kanak-kanak itu sebenarnya mereka cerita diculik selepas dia bimbang dimarahi bapanya kerana kehilangan selipar.
“Dalam kejadian tersebut, kanak-kanak itu bermain kejar mengejar dengan seorang kanak-kanak lelaki,” ujarnya sambil memberitahu polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai tiada tindakan lanjut.
Sehubungan itu beliau menasihati golongan ibu bapa untuk menjaga keselamatan dan keberadaan anak-anak mereka sentiasa.
Penggerak Daily