JOHOR BAHRU: Pemeriksaan terhadap Allahyarham adik Noor Hayati Nabila Abdullah, 14 tahun yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu mendapati remaja berkenaan mempunyai ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.
Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, sampel tisu dalam badan juga telah dihantar ke Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk maklumat lanjut.
Menurut beliau, keputusan pemeriksaan lanjut terhadap Allahyarham dijangka boleh diperolehi antara 24 Oktober hingga 28 Oktober 2021.
“Pada 3 Oktober lalu, Allahyarhamah telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 berjenama Comirnaty Pfizer.
“Status kesihatan Allahyarhamah pasca vaksin dalam keadaan baik, tidak menghidap demam, selesema, lemah sendi atau susah bernafas dan boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Puad Zarkashi memuat naik satu kenyataan ringkas memaklumkan Allahyarham Noor Hayati Nabila meninggal dunia beberapa hari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Dalam kenyataan itu, Puad turut meminta Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan keputusan ‘post mortem’ dengan telus dan segera.
Remaja itu dilaporkan telah ditemui meninggal dunia oleh ibunya di ruang tamu rumah mereka di Batu Pahat.
Sementara itu, Dr. Aman turut memberitahu, temubual bersama waris mendapati Allahyarhamah tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan.
“Pelbagai ujian darah telah dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan. Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan ujikaji masih belum diterima.
“Walaubagaimanapun, Jabatan ini mengambil perhatian di atas perkara yang telah tular,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily