Oleh Ahmad Roi
Isu RM10 ribu duit KWSP makin panas. Dari parlimen sampai facebook, duit KWSP saluran 1 jadi bahan debat. Bagus, dalam soal apakah langkah paling strategik untuk membantu rakyat dan negara menghadapi pandemik COVID-19, perlu ada debat, perlu ada gaduh sebab idea ada banyak.
Ketika idea gunakan RM10 ribu duit KWSP disuarakan oleh ahli parlimen Pekan, Najib Razak, cadangan menggiurkan ini disambut bagaikan batu meteor RM7.6 juta jatuh dari langit. Ideanya mudah, “itu duit kau, masa terdesaklah perlu dikeluarkan”.
Wajar juga cadangan ini disambut, mengenangkan kesan pandemik COVID-19 yang meranapkan ekonomi, perniagaan bungkus dan ‘tanam anggur’ sudah jadi mainstream.
ARMADA juga beri cadangan untuk rakyat Malaysia, khususnya B40 keluar dari kemelut ekonomi ini.
Sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan idea ‘cetak wang kertas’ oleh Bank Negara Malaysia untuk menambahkan duit poket secara pukal kepada rakyat telah menimbulkan sedikit ‘kegemparan’ kepada umum selain telah mengutarakan idea untuk membuat penghapusan hutang (debt jubilee) kepada golongan M40 dan B40.
Cadangan ini disokong oleh Pengerusi Gerakan Monetari, Ahamed Kameel Mydeen Meera – “Idea Wan Ahmad Fayhsal selari dengan teori kewangan moden”,
“Menurut teori ini, kerajaan boleh mendapatkan sebanyak mana pun wang untuk perbelanjaan fiskalnya, dengan langkah semak dan imbang yang tersedia, dan menggunakan cukai bagi mengawal inflasi.”
Manakala Geoffrey Williams dari HELP University menyifatkan idea tersebut “sangat munasabah” dengan berkata, ia pernah digunakan dalam bentuk pelonggaran kuantitatif selepas Zaman Kemelesetan di Amerika Syarikat pada 1930-an, di Jepun pada akhir 1990an dan berikutan krisis kewangan dunia pada 2008.
Kata Geoffrey, Malaysia boleh mengambil langkah itu bagi memenuhi cadangan bekas perdana menteri Najib Razak supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 daripada Akaun 1 mereka.
Cadangan demi cadangan yang diutarakan, banyak terma yang kita dengar – jublee debt, helicopter money, teori moneteri moden, quantitive easing dan macam-macam lagi.
Tujuannya, rakyat dan negara dapat diselamatkan dalam jangka masa pendek dan panjang dari malapetaka COVID-19.
Baiklah, teruslah berbahas dan cepat-cepat laksanakan. Roi bukan nak cerita siapa menang siapa kalah. Paling penting, langkah mana yang selesaikan masalah. Tak kisahlah, idea Milton Friedmen atau Paul Baran, yang penting, selesai!
Cuma, ada satu keadaan yang Roi nak sentuh – hal yang terselit dalam perbahasan ‘langkah mana paling baik untuk lawan rakyat dan negara’.
Kalau kita perasan, selepas bekas Perdana Menteri, Najib Razak mencadangkan keluarkan RM10 ribu KWSP bagi membantu pulihkan ekonomi, Pakatan Harapan (PH) juga memukul gendang KWSP.
Malaysia perlu tahu, kerajaan pembangkang Pakatan Harapan juga prihatin!
“Rakyat yang benar-benar terdesak perlu dibenarkan membuat pengeluaran KWSP” tegas Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan lepas.
Cadangan Anwar Ibrahim yang sama dengan cadangan Najib Razak turut disokong oleh ahli parlimen dari PKR, Hassan Karim.
“Kerajaan Malaysia patut benarkan pencarum KWSP keluarkan Akaun-1 mereka sehingga RM10,000 sekaligus.
Cadangan RM10 ribu KWSP merupakan cadangan mudah dan orang senang faham – aku ada duit simpanan dan aku perlukannya di waktu daraurat.
Jadi, tidak pelik kalau idea ini lebih popular dari idea yang sarat dengan teori dan terma ekonomi seperti diutarakan ARMADA.
Jadi, dalam menanggapi cadangan RM10 ribu KWSP, ada persoalan yang perlu kita fikirkan.
Pertama, apakah sebuah langkah yang mudah difahami dan popular dalam kalangan masyarakat terbanyak semestinya betul dan wajar?
Kalau kita ingat, naratif RM10 ribu KWSP mirip dengan cerita hapuskan pinjaman PTPTN yang mengheret rakyat mendesak kerajaan tanpa memahami implikasi jangka panjang – dan akhirnya peminjam PTPTN terus membayar dan akur manifesto bukan kitab suci.
Tentu sekali, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan PN ambil pendekatan berhati-hati atas kepentingan masa depan ekonomi dan rakyat, tidak tergesa-gesa melaksanakan sesuatu tekanan populis yang boleh menjejaskan keupayaan kewangan negara.
Persoalan lagi, apakah cadangan RM10 ribu dari KWSP melalui Belanjawan 2021 ini demi rakyat atau sekadar meraih populariti politik, agar nampak lebih relevan?
Soalan ini wajar untuk ditanyakan.
Tentu kita tercengang kerajaan yang memotong sekian banyak elaun termasuk elaun nelayan semasa 22 bulan pemerintahannya jatuh simpati dengan nasib rakyat.
Malahan, dalam Belanjawan 2019 semasa pemerintahan PH memerintah, banyak peruntukan yang memberi manfaat kepada B40 telah dipotong. Antaranya;
a. Peruntukan kepada Insentif Pengeluaran Padi dipotong daripada RM563 juta (2018) kepada RM281.5 juta dalam bajet 2019.
b. Peruntukan kepada Elaun Sara Hidup Nelayan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan dipotong daripada RM262 juta (2018) kepada RM98.5 juta dalam bajet 2019.
c. Subsidi Baja Padi Bukit/Huma dipotong 100% daripada RM70 juta (2018) kepada RM0 dalam bajet 2019.
d. Program Food and Agro Council for Export (FACE) dihapuskan dalam bajet 2019 berbanding peruntukan sebanyak RM3 juta pada 2018
e. Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) dipotong daripada RM12.5 juta pada 2018 kepada hanya RM3.5 juta dalam bajet 2019
Jadi, kita bertanya lagi, apakah cadangan RM10 ribu KWSP itu atas keprihatinan mantan kerajaan yang pernah memerintah selama 22 bulan atau peluang menangguk di air keroh?
Epilog: Sedang membuat kira-kira berapa baki hutang PTPTN
PenggerakDaily
*Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PenggerakDaily