Sejumlah RM6.61 bilion nilai perolehan telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
Demikian pendedahan dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen.
Pendedahan itu menyebabkan suasana persidangan di Dewan Rakyat bertukar kecoh dengan beberapa Ahli Parlimen mendesak supaya senarai projek berkenaan dibentangkan untuk penelitian lanjut.
Bagaimanapun Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa jumlah pemberian secara tender terbuka sebenarnya jauh lebih besar berbanding rundingan terus.
Namun, dakwaan Wakil Bagan itu dinafikan wakil Gombak.
Sejurus pendedahan itu, Dewan Rakyat kecoh dengan perbalahan sesama Ahli Parlimen berterusan sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang ketika itu mengendalikan sesi berkenaan meminta kesemua mereka duduk dan tidak membenarkan sebarang pencelahan.
Keadaan kecoh itu berlanjutan sehingga mengundang Datuk Azhar untuk sekali lagi memberi peringatan kepada kesemua Ahli Parlimen yang bangun bercakap serentak, untuk duduk, namun tidak diendahkan beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang berterusan mengasak meminta penjelasan daripada Tengku Zafrul.