JOHOR BAHRU: Aktiviti di rumah ibadat bukan Islam di negeri ini dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini namun tidak boleh melebihi 1/3 daripada kapasiti sebenar sesebuah institusi terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, arahan itu dibuat mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan melibatkan pandemik Covid-19.
“Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ekoran PKPB yang dilaksanakan di negeri semenanjung termasuk Johor bermula 9 November hingga 6 Disember ini, rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi.
“Namun ia dengan had kehadiran iaitu 1/3 daripada kapasiti dewan atau ruang ibadat dengan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan semua negeri semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan akan dikenakan PKPB bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 yang meningkat naik ketika ini.
Tambah Fat Full, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melantik pegawai daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk memantau pematuhan SOP ini.
“Tindakan ini selaras dengan Seksyen 3 Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” ujarnya.
Penggerak Daily