Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan beliau dan isteri, Melania Trump, positif COVID-19.
Pengumuman itu dibuat oleh Trump melalui ciapan di akaun rasmi Twitter beliau pada jam 12.55 tengah hari waktu Malaysia.
Kebimbangan mengenai pendedahan Trump kepada virus itu meningkat baru-baru ini, selepas salah seorang kakitangannya, Hope Hicks dikesan positif virus tersebut.
Pada Selasa, Trump dan Hicks berada bersama di dalam pesawat Air Force One ketika presiden itu menjelajah ke seluruh Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya beliau.
Susulan pengesahan keputusan positif Hicks, Trump mengumumkan akan menjalani kuarantin selepas mempunyai interaksi rapat dengan kakitangannya itu.
Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian, Trump mengesahkan beliau dan isteri juga didapati positif virus berkenaan.
Perkembangan terbaru ini menambah ketidaktentuan kepada perjalanan kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, yang akan berlangsung pada 3 November ini.
Dengan berbaki sebulan lagi, Trump dan pesaingnya daripada Parti Demokrat, Joe Biden kini memasuki fasa akhir kempen masing-masing.
PenggerakDaily