Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengakui terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mampu mendapatkan jumlah diperlukan bagi membentuk kerajaan baharu.
Beliau berkata, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) perlu bercakap bagi pihak ketiga-tiga parti dalam PH, namun kenyataan itu hanya untuk sebuah parti politik.
“Semasa saya berjumpa dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim pada hari Jumaat yang lalu, saya telah memberi jaminan kepada beliau yang pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran Ketua Pembangkang.
“Tetapi, kumpulan pembangkang perlu mara ke hadapan dan arah baharu yang fokus kepada keperluan untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang dengan sebuah konsensus kebangsaan baharu,” katanya menerusi laman blognya, semalam.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, Saifuddin berkata, beliau percaya Anwar masih mampu mendapatkan jumlah yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baharu.
Perkara itu boleh dilakukan sama ada melalui Akuan Berkanun (SD) atau melalui Dewan Rakyat.
Katanya, Anwar sebelum ini diberi mandat untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan dan Presiden PKR itu tidak seharusnya dipersalahkan.
Sumber: Malaysiapost