Saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nur Adlyka Ainul Annuar menemui lohong hitam gergasi dalam galaksi berhampiran yang tersembunyi di sebalik awan gas dan debu yang tebal.
Penemuan itu adalah menggunakan Teleskop NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) yang dikendalikan oleh NASA yang telah membuat pencerapan terhadap lohong-lohong hitam supermasif aktif yang malap di sekitar kejiranan kosmik.
Dr Nur Adlyka adalah pensyarah di Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) berkata, lohong-lohong hitam itu kelihatan malap dan lemah berdasarkan cerapan sinar-X bertenaga rendah.
“Cahaya sinar-X ini dipancarkan oleh bahan-bahan yang “dimakan” oleh lohong hitam tersebut. Namun begitu, cerapan pada panjang gelombang yang lain (seperti optik dan inframerah) mencadangkan bahawa lohong hitam tersebut lebih bertenaga daripada yang disangkakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, perbezaan pemerhatian ini boleh dijelaskan sekiranya sinar-X bertenaga rendah tersebut (yang berada lebih hampir dengan lohong hitam) telah diserap oleh awan gas yang tebal disekelilingnya.
“Pencerapan sinar-X bertenaga tinggi diperlukan bagi melihat lohong hitam yang berada di sebalik awan gas tersebut kerana sinar-X ini mampu menembusi awan gas yang melindunginya,” ujarnya.
NuSTAR, sebuah teleskop sinar-X bertenaga tinggi paling sensitif pernah dibina, berjaya membekalkan data yang diperlukan, bersama-sama data sinar-X bertenaga rendah yang diperoleh daripada teleskop Chandra milik NASA dan teleskop XMM-Newton milik ESA.
Dr. Adlyka yang mengetuai penyelidikan tersebut mendapati bahawa dua daripada empat lohong hitam yang dikaji, yang berada di pusat galaksi ESO 121-G6 dan NGC 660, diselubungi oleh awan gas yang tebal. Teleskop NuSTAR telah berjaya membongkar bahawa lohong-lohong hitam tersebut sebenarnya adalah gergasi yang bercahaya dan mempunyai tenaga yang tinggi.
“Hasil kajian ini membuatkan kita tertanya-tanya berapa banyak lagi gergasi ini yang tidak ditemui meskipun berada berhampiran dengan galaksi kita?”, kata Dr Adlyka.
Katanya, kebanyakan lohong hitam yang sedang membesar dipercayai tersembunyi daripada pandangan mata kasar.
“Buktinya adalah melalui pemerhatian terhadap lohong-lohong hitam yang berada lebih jauh daripada kita, dan kajian berkaitan sinaran latar sinar-X kosmik.
“Jika kita lihat langit dengan mata kasar, kita mendapati bahawa ruang di antara objek-objek astronomi seperti planet, bintang dan galaksi kelihatan gelap. Namun, jika kita gunakan teleskop sinar-X untuk mencerap langit, kita akan dapati bahawa langit ini sebenarnya bercahaya dalam sinar-X. Inilah yang kita panggil sinaran latar sinar-X kosmik,” jelasnya.
Ujarnya, memandangkan kebanyakan pancaran sinar-X di alam semesta datangnya dari bahan-bahan yang “dimakan” oleh lohong hitam, sinar latar ini mengandungi maklumat tentang semua proses pembesaran lohong hitam yang pernah berlaku sejak permulaan alam semesta sehingga kini.
“Meskipun begitu, untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang proses pembesaran lohong hitam, kita perlu memastikan apa yang dilihat pada hujung alam semesta selari dengan apa yang dilihat di galaksi-galaksi berhampiran, iaitu sekitar “kejiranan kosmik” kita.
“Sebelum wujudnya teleskop NuSTAR, ahli-ahli astronomi telah menemui lohong-lohong hitam yang bersembunyi di sekitar galaksi berhampiran, tetapi tidaklah sebanyak yang dijangka,” terangnya.
Kini, teleskop NuSTAR telah berjaya mengenal pasti lebih banyak lohong hitam tersembunyi. Hal ini mengukuhkan lagi pemahaman masyarakat terhadap proses pembesaran lohong hitam di alam semesta.
Dua lagi lohong hitam yang dikaji oleh Dr. Adlyka dan pasukan penyelidik, yang berada di pusat galaksi M51b dan galaksi NGC 3486, tidak kurang menariknya.
Meskipun objek-objek itu kelihatan sama sebelum adanya teleskop NuSTAR, namun struktur dan proses fizik lohong hitam yang lemah mungkin berbeza daripada lohong hitam “gergasi” yang ditemui.
Kajian teori sebelum ini mengusulkan bahawa lohong hitam yang lemah tidak mampu menampung awan gas yang berada disekelilingnya seperti yang dilihat pada lohong hitam gergasi.
Penyelidik bersama, Profesor astronomi di Centre for Extragalactic Astronomy, Durham University, United Kingdom, Prof David Alexander berkata, pemerhatian baharu daripada teleskop NuSTAR itu mengesahkan kajian teori tersebut, dan berjaya menemukan lohong-lohong hitam aktif paling malap pernah dijumpai.
Kajian yang dibiayai oleh Fundamental Research Grant Scheme (FGRS), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia adalah kolaborasi antara 23 penyelidik antarabangsa lain.
Kertas kajian itu juga telah diterbitkan dalam jurnal Monthly Notices of the Royal Astronomical Society. Dr. Adlyka juga ahli Young Scientists Network – Academy of Sciences Malaysia
Sumber: ukm.my