JOHOR BAHRU: “Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu ingat, sentiasa cakna dengan denyut nadi rakyat, pastikan tiada yang tidur dengan perut kosong.
“Mungkin pada kita perkara itu nampak kecil, tetapi sebenarnya besar pada orang susah,”.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, itu antara pesanan yang disampaikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), akhir tahun lalu.
Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang tegas namun lembut apabila berurusan dengan individu lain, termasuklah pegawai dan kakitangan kerajaan.
“Beliau tegas, tetapi juga lembut pada masa sama. Beliau mempunyai figura seorang pemimpin, seperti gaya seorang ayah, lihat sahaja cara dia menegur orang, sangat berpandangan jauh.
“Beliau juga sangat menyokong usaha dijalankan KPDN, walaupun banyak pihak kritik kita (kakitangan kerajaan) tetapi beliau yang terus menyokong dan menasihatkan untuk sentiasa jalan terus, itu cara dia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Cabaran Interaktif Pengguna (CIP) Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Negeri Johor di pusat beli belah Toppen, di sini hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, Allahyarham juga sering menasihati masyarakat untuk menjadi pengguna bijak khususnya dalam membuat perbelanjaan harian mereka.
“Beliau selalu berpesan, kalau ada apa-apa sahaja perkara meragukan atau berunsur pencatutan, walaupun bukan bidang kuasa KPDN pun tidak mengapa, salurkan sahaja maklumat dan kita akan sampaikan kepada kementerian berkaitan.
“Walaupun tidak sampai setahun beliau mengetuai kementerian ini, namun kehilangan Allahyarham beri kesan yang dalam, tetapi kami akan terus berpegang kepada pesanannya dalam menjalankan tanggungjawab demi rakyat,” jelasnya dengan nada sebak.
Kelmarin, Salahuddin dilaporkan telah menghembus nafas terakhir pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, selepas dimasuklan ke hospital dua hari sebelumnya kerana mengalami muntah dan mual.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan enam orang anak itu dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, tengahari semalam.
Majlis pengkebumian itu dihadiri seramai lebih 1,000 individu termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan kabinet kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, dalam program tersebut, seramai 136 pelajar dari 33 sekolah menengah di seluruh Johor terlibat dalam program ini dimana pelajar dari Sekolah Menengah Agama Bandar Penawar, Kota Tinggi muncul juara.
Sekolah tersebut bakal mewakili Johor ke pertandingan CIP peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Miri, Sarawak pada 22 Ogos depan.
Penggerak Daily