JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah mula melaksanakan penguatkuasaan terhadap undang-undang larangan meletak kenderaan di kawasan awam sehingga menghalang laluan, sejak 1 Januari lalu.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman bagaimanapun berkata, tindakan awalan yang diambil pihaknya adalah dengan mengeluarkan notis terlebih dahulu.
Menurut beliau, sepanjang Januari 2024, sebanyak lima notis telah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berhubung larangan berkenaan.
“Tahun lepas kita dah umumkan perkara ini, dan penguatkuasaan telah bermula sejak 1 Januari lalu. Tetapi penguatkuasaan itu bukan terus saman sebaliknya kita keluarkan notis 21 hari terlebih dahulu, jika mereka tidak patuh kemudian baru keluar saman.
“Kita kuatkuasakan undang-undang ini bertujuan untuk memastikan laluan awam tidak terhalang dan juga bagi menjaga keharmonian sesama penduduk di kawasan perumahan.
“Ini kerana aduan berhubung kenderaan diletakkan sesuka hati sehingga menghalang laluan termasuk melibatkan laluan masuk ke rumah kediaman semakin meningkat, tahun 2022 sebanyak 300 lebih aduan diterima, dan tahun lalu lebih 500 aduan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pedoman MBPG 2024 yang diadakan di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Datuk Azmi Alias.
Tahun lalu, tular di media sosial apabila MBPG mengeluarkan notis untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kenderaan awam yang meletakkan kenderaan di laluan umum, termasuk di hadapan rumah kediaman.
Tambah Asman Shah, pihaknya berharap tindakan penguatkuasaan yang dibuat itu akan dapat membantu mengurangkan aduan penduduk setempat berhubung masalah tersebut.
“Kita bukan sahaja mahu aduan yang diterima berhubung perkara ini menurun, tetapi kita juga berharap tahap keharmonian dalam kalangan penduduk Pasir Gudang juga semakin baik tanpa ada masalah berbangkit akibat isu letak kenderaan,” jelasnya.
Kompaun yang dikeluarkan sekiranya pemilik kenderaan gagal mematuhi notis dikeluarkan adalah melibatkan saman minimum sebanyak RM100 dan maksimum sebanyak RM2,000 bagi kesalahan berulang.
Penggerak Daily