JOHOR BAHRU: Ketua Polis Balai Sri Gading, Sarjan Mejar Sazalan Yusof yang didakwa melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang awam, baru-baru ini telah dipindahkan ke jabatan lain.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, langkah itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dalaman yang dilakukan pihaknya.
Menurut beliau, tindakan sewajarnya akan dibuat mengikut undang-undang selepas siasatan selesai dijalankan dengan telus.
“Ketua Polis Balai itu telah dipindahkan ke satu jabatan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sementara siasatan dijalankan.
“Jabatan itu juga tidak memerlukan dia berurusan dengan awam,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Kelmarin, Polis Johor mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan akan menyiasat Sarjan Mejar itu susulan rakaman video berdurasi 37 saat yang tular di media sosial.
Kamarul Zaman memberitahu pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan.
Berdasarkan rakaman video yang tular, kelihatan seorang individu lelaki mengasari seorang lelaki lain yang sedang duduk di dalam sebuah restoran.
Suspek tersebut dapat dilihat menampar lelaki terbabit sebanyak sembilan kali sambil sebelah lagi tangannya menggenggam rambut mangsa.
Mangsa yang kelihatan ketakutan tidak melawan tindakan tersebut.
Antara ayat yang dapat didengar termasuk, ‘kau dah banyak kali buat hal; bulan puasa ke bulan apa ni; dah tak puasa, mencuri lagi; bodoh; bangsat kau; telefon bapa kau, telefon bapa kau sekarang, cepat telefon bapa kau,”.
Penggerak Daily