Johor bakal mempunyai satu lagi terminal feri antarabangsa yang bakal dibangunkan di Desaru Coast dan dijangka siap pada Jun tahun hadapan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Ahad dalam rangka kerjanya selama dua hari ke negeri itu sempat meninjau tapak baharu terminal feri berkenaan.
Beliau menghabiskan masa kira-kira setengah jam dalam lawatan itu, termasuk mendengar taklimat kira-kira 15 minit di Anantara Desaru Coast Resort and Villas.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin yang tiba kira-kira jam 3.15 petang diberi taklimat pembangunan bersepadu sektor pelancongan di Desaru oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Shahril Ridza Ridzwan di Hotel Hard Rock Desaru.
Mengiringi beliau dalam lawatan kira-kira satu jam itu adalah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Terminal feri yang mampu melonjakkan aktiviti pelancongan negeri berkenaan akan dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).
Dengan adanya terminal baharu itu, Johor bakal memiliki pintu kemasukan antarabangsa yang ke-16.
Pembangunan yang sudah siap kira-kira 54 peratus itu adalah sebahagian projek Desaru Destination Resort dengan kos RM4.5 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, Roslina Arbak berkata, pembinaan terminal feri itu itu akan meningkatkan kesalinghubungan dengan akses langsung ke Singapura, Batam dan Pulau Bintan.
Sumber: Awani