ISKANDAR PUTERI: Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang kini menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor sedia galas tanggungjawab baharu diamanahkan.
Menurut beliau, portfolionya komunikasi adalah bidang baharu buat dirinya namun akan beri komitmen 100 peratus terhadap amanah tersebut.
“Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepercayaan kepada saya untuk terus menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, serta satu lagi tambahan iaitu Komunikasi.
“InshaAllah saya akan berjumpa dengan ketua-ketua jabatan berkaitan dahulu untuk melihat hala tuju kita. Saya juga akan bertemu dengan Menteri Besar untuk pastikan hasrat beliau berhubung portfolio ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan Pengusaha Teksi di Taman Nusantara Prima, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Abdul Malik Ismail dan Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Bahru (GAPET), Wahid Mohd. Yasin.
Tambah Mohamad Fazli, pertambahan portfolio tersebut tidak akan mengurangkan komitmen beliau dalam memastikan setiap inisiatif yang telah dimulakan sejak dua tahun lalu mencapai hasrat dikehendaki.
“Apa yang saya faham buat masa ini adalah komunikasi ini turut melibatkan aspek utiliti berkaitan komunikasi, jadi sebelum ini kita memang ada juga bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan kerana ia turut berkait dengan penggalian dan pembinaan jalan dan sebagainya.
“Jadi sedikit sebanyak pengalaman sedia ada itu akan dapat membantu saya dalam menerajui portfolio baharu ini,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily