JOHOR BAHRU: Keluarga kepada Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang terbunuh dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi tadi reda, namun tetap bangga.
Abangnya, Abdul Salam, 33, berkata, adiknya yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu terkorban ketika sedang bertugas berkhidmat untuk masyarakat dan negara.
“Memang membanggakan, kerana kejadian berlaku ketika dia sedang bertugas. Cuma saya rasa agak terkilan kerana saya membantu urusan dia menjadi anggota polis dari awal hingga akhir.
“Masa dia berjaya masuk dan menjadi anggota polis, saya berasa amat gembira, tetapi perkara dah jadi kita tak dapat cakap apa, reda sahaja.
“Dia jadi polis bukan kerana mengikut saya tetapi dia sendiri memang berminat dengan kerjaya ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Abdul Salam yang berusia 33 tahun dan bapa kepada tiga orang anak itu merupakan seorang anggota polis dan sedang berkhidmat di Balai Polis Kepong, Kuala Lumpur.
Tambahnya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan Muhamad Syafiq adalah pada bulan Januari lalu ketika dia pulang bagi menghadiri majlis akikah anak buahnya.
“Kali terakhir saya dan ahli keluarga lain berjumpa dia masa bulan satu, awal tahun lalu kerana keluarga ada buat majlis akikah untuk anak buah ketika itu,” ujarnya yang berdukacita dengan kejadian tersebut.
Terdahulu, Abdul Salam menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika beliau hadir menziarah ahli keluarga mangsa di hospital berkenaan.
Muhamad Syafiq beserta seorang lagi anggota, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, maut dibunuh seorang lelaki yang dipercayai merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini pada pukul 2.30 pagi tadi.
Sementara itu, seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan turut cedera akibat ditembak di bahagian bahu dalam kejadian tersebut.
Penggerak Daily