JOHOR BAHRU: Malaysia berdepan ancaman keselamatan digital apabila berlakunya peningkatan pencerobohan data dengan peningkatan sebanyak 1,992 peratus iaitu 646 kes tahun 2023 berbanding hanya 50 kes pada tahun 2022.
Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof. Dr. Norsaadah Abd. Rahman berkata, sektor awam dan sektor telekomunikasi antara yang mengalami kebocoran data tinggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, Malaysia memerlukan 12,000 tenaga profesional berkaitan keselamatan siber bagi mencapai sasaran seramai 25,000 pegawai keselamatan siber.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan bagi menangani masalah ini termasuk dengan menggandakan usaha meningkatkan kapasiti dan daya saing Malaysia dalam teknologi digital.
“Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 yang telah diluluskan Dewan Negara baru-baru ini merupakan langkah penting meningkatkan keselamatan siber.
“Langkah ini dijangka dapat meningkatkan impak bagi pengendalian insiden keselamatan siber terutama dalam sektor kerajaan, perbankan, kewangan serta sains, teknologi dan inovasi,” katanya ketika berucap pada program Jerawaraya ASM Wilayah Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Hazami Habib dan Ketua Pegawai Eksekutif eWorldwide Group, Prof. Dr. Salma Abbasi.
Sementara itu, Ahmad Fauzi memberitahu, UTM bukan sahaja terlibat dalam penyelidikan berpandukan teknologi baharu tetapi juga menumpukan usaha terhadap pembangunan bakat.
“UTM menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam di Malaysia dengan 85 peratus graduan kita memiliki tahap kemahiran tinggi khususnya Sarjana Keselamatan Siber bawah Fakulti Komputeran dan pelbagai program profesional di bawah Fakulti Kecerdasan Buatan,” ujarnya.
Program Jerawaraya ASM Wilayah Selatan 2024 di UTM itu turut menarik penyertaan peserta secara dalam talian dan fizikal melibatkan wakil industri, agensi kerajaan, syarikat multinasional dan syarikat pemula.
Penggerak Daily