Categories
Berita Jenayah

SELUDUP 2,400 TIN ARAK DENGAN NAZA CITRA, SEORANG LELAKI DITAHAN

Seorang lelaki ditahan bersama 2,400 tin arak yang diseludup bernilai RM105,000 di Taman Dato Chellam, Ulu Tiram dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am, Superintendan Dimin Awang berkata, suspek berusia 33 tahun ditahan pada pukul 5.15 petang.

Beliau berkata, arak tanpa cukai kastam itu ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra.

Hasil siasatan lanjut, suspek telah menjalankan aktiviti penjualan arak seludup di sekitar kawasan bandar raya ini.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM105,000. Tangkapan dan rampasan arak seludup dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dimin, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Beliau turut menyeru kepada orang awam supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti penyeludupan bagi mengekang barangan kontraban.

Sumber: K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *