Johor menjadi antara negeri terawal yang menggunakan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 bagi pemandu mabuk yang mula dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu.
Di bawah akta baharu itu menyaksikan lapan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Mereka didapati berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 50 miligram dalam 100 mililiter darah ketika memandu pada 23 Oktober hingga 25 Oktober di sekitar Johor Bahru.
Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman, lapan daripada mereka mengaku salah manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah.
Nur Asidah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari dari tarikh sabitan kes, denda RM10,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun terhadap lapan tertuduh itu.
Sementara itu, mahkamah turut mengenakan jaminan sebanyak RM13,000 terhadap tertuduh yang mengaku tidak bersalah selain menetapkan 26 November depan untuk sebutan kes.
Terdahulu Pegawai Pendakwaan Trafik, Asisten Suprintendan Polis Azmi Abdul Salam meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran sewajarnya.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Terdahulu, media melaporkan pada 21 Oktober lalu, Rang Undang- undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45, akan dikuat kuasa bermula 23 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, akta baharu itu diyakini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang.
Sumber: Sinar Harian