Selepas beberapa tahun lalu videonya bertuala mandi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor tular di laman sosial, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos ‘buat hal’ lagi.
Menerusi Facebook rasminya semalam, Jamal berkongsi tiga video pendek kurang dua minit yang dua daripadanya memaparkan dirinya dalam keadaan bertuala dengan latar belakang sungai dikatakan di Tanjung Malim.
Jamal dalam salah satu video berkenaan bertanyakan tentang tindakan dilakukan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu gangguan air yang melanda negeri ini sejak Khamis lalu.
“Dulu saya bertuala datang ke SUK (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor) ingin menumpang mandi di Pejabat Menteri Besar ketika itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor, saya dikatakan gila.
“Saya dikecam dengan hebatnya, (video saya) ditonton lebih 20 juta orang di seluruh negara dan dunia, kata saya seorang yang tidak siuman lagi.
“Tapi pada hakikatnya apa yang saya lakukan ketika itu adalah ingin memberitahu kerajaan negeri permasalahan air ini amat besar kesannya kepada rakyat,” memetik rakaman video yang dikongsikan 20 jam lalu.
Jamal dalam rakaman sama memaklumkan, beliau berharap kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) dapat memberikan fokus dan keutamaan bagi menangani permasalahan air.
“Sampai bila masalah air ini akan diselesaikan? Soalnya.
Beliau turut memaklumkan yang rumahnya tiada bekalan air masuk hari ketiga (semalam) dan terpaksa datang ke sungai di Tanjung Malim.
“Jadi anda yang kecam dulu bagaimana? Jom datang ikut saya mandi di sungai… Air tak ada… Apa yang MB (Menteri Besar) buat ketika ini,” katanya.
Jamal pada Disember 2016 hadir ke SUK dengan memakai tuala sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri berhubung isu gangguan bekalan air.
Bagaimanapun, beliau yang tiba di pintu utama bangunan itu dihalang daripada memasuki pusat pentadbiran kerajaan Selangor itu.
Dalam entri terbaharu di Facebooknya semalam, Jamal turut mengajak orang ramai mengikutnya ke SUK Khamis ini bagi menyuarakan bantahan.
Sumber: Sinar Harian