Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan rakan kongsi dari Jerman, BioNTech mengumumkan calon vaksin mereka mencatatkan 90 peratus berkesan mengelak jangkitan COVID-19 ketika ujian fasa tiga.
Menurut syarikat itu lagi, individu di sebalik penghasilan vaksin COVID-19 yang didakwa 90 peratus berkesan untuk menangani jangkitan virus itu merupakan pasangan saintis beragama Islam dari Turki, Ugur Sahin dan Ozlem Tuereci.
Ugur Sahin, 55, dan Ozlem Tureci, 53, menghabiskan hampir sepanjang hidup mereka dalam menyumbang kepada bidang penyakit berjangkit dan onkologi.
Pasangan suami isteri ini menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz, Jerman pada 2008. Kini, Ugur dan Ozlem dikenali seluruh dunia kerana hasil titik peluh mereka membangunkan vaksin COVID-19 yang pertama dengan keberkesanan tinggi.
Dilahirkan di Turki dan dibesarkan di Jerman, Ugur berasal dari keluarga pendatang yang bekerja di sebuah kilang Ford. Beliau bergelar seorang doktor dengan kepakaran dalam bidang imunoterapi.
Isterinya, Ozlem adalah Ahli Lembaga Pengarah BioNTech, merupakan anak perempuan seorang doktor Turki dan juga berhijrah ke Jerman.
PenggerakDaily