JOHOR BAHRU: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyerang institusi diraja tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara yang telah dicipta sendiri beliau termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, tindakan tidak menunaikan janji juga merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.
“Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum.
“Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.
“Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan Agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD.
“Berkenan isu Statut Rom dan ICERD ini, Tun Mahathir bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja, tetapi Tun juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.
“Perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu,” titahnya.
Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa berbesar hati kepada Dr. Mahathir kerana turut mengatakan mengenai baginda dalam buku terkini beliau berjudul, ‘Capturing Hope’.
Baginda turut bertitah mendoakan Dr. Mahathir agar sentiasa panjang umur dan agar semua kaum di negara ini sentiasa menghormati satu sama lain dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara.
“I will see you soon, Tun,” titahnya lagi.
Penggerak Daily