KUALA LUMPUR, 18 Jan — Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berharap siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian letupan di sebuah kilang memproses produk kelapa sawit di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di Johor, Sabtu lepas.
NIOSH dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pihaknya memandang berat kemalangan yang berlaku sehingga mengakibatkan seorang jurukimpal maut dan dua lagi pekerja cedera.
“NIOSH menyeru agar pihak majikan khususnya industri yang berisiko tinggi sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Tempat kerja yang melibatkan penggunaan mesin, jentera berat dan bahan mudah terbakar memerlukan pengurusan dan pengawalan yang teliti,” menurut kenyataan itu.
Prosedur kerja selamat, penyeliaan dan tingkah laku pekerja adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan semasa bekerja, menurut kenyataan itu.
Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu, tiga lelaki warga tempatan iaitu jurukimpal Wilson Banggau, 45, maut sementara dua lagi Bonsi Buli, 42, dan Muhamad Syafiq Abdul Rahman, 23, cedera.
Bernama sebelum ini melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memberitahu, mangsa yang terbunuh sedang membuat kerja-kerja pengimpalan di sebuah tangki yang menyimpan kira-kira 800 tan metrik crude glycerin dan letupan dipercayai akibat tindak balas api kimpalan dan gas di dalam tangki berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, NIOSH menyatakan kerja-kerja kimpalan berhampiran crude glycerine adalah sangat berbahaya kerana ia bersifat mudah terbakar jika terdapat kehadiran api.
Merujuk kepada Safety Data Sheet (SDS), pengendalian dan penyimpanan crude glycerine perlu dilakukan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik dan suhu panas dan sejuk yang melampau perlu dielakkan serta perlu dijauhkan daripada sebarang sumber api dan bahan pengoksidaan.
NIOSH bersimpati kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dan berharap agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Sumber : Bernama