JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kasut tumit tinggi yang didakwa mempunyai kalimah mirip ejaan Allah dalam bahasa Arab di bahagian tapaknya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“JAIJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan, dan telah diserahkan kepada pihak peguam negara. Sama ada terdapat siasatan lanjutan dibuat berhubung kes berkenaan saya tidak dimaklumkan.
“Tetapi saya yakin penguatkuasa agama negeri ini dan juga polis telah jalankan tugas mereka sebaiknya. Selebihnya kita serah budi bicara peguam negara untuk buat tindakan susulan termasuk sama ada perlu mendakwa mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Tambah Mohd. Fared, kasut-kasut yang dirampas dalam kes berkenaan masih dalam simpanan pihak polis.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan seramai 3,500 rakyat negeri ini akan melakukan ibadah haji pada tahun ini.
“Jumlah itu adalah kuota yang diberikan kepada negeri Johor tahun ini. Sementara itu, 500 jemaah pula berada dibawah pengurusan dan program kerajaan negeri.
“Tarikh pelepasan paling awal adalah pada 18 Mei ini dan saya juga difahamkan semua bakal jemaah berada dalam keadaan sihat dan baik, semoga mereka semua beroleh haji mabrur,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily