Oleh: Editorial Penggerak Daily
JOHOR BAHRU, 12 JULAI 2020: Persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan esok akan dilaksanakan dalam kebiasaan baharu. Walaupun sedikit kelonggaran diberikan, namun ia perlu mengikut prosedur operasi standar (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Sidang esok menjadi tumpuan kerana merupakan sidang pertama selepas sidang pembukaan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada majlis perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu.
Dalam keadaan wabak COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata perkara utama yang perlu diikuti adalah jarakan sosial satu meter di antara Ahli Parlimen dan ia akan tetap dilaksanakan.
Tambahnya lagi, pemeriksaan kesihatan akan dilakukan bagi mereka yang bergejala.
Sebelum ini, Mohd Rashid juga mengingatkan kepada semua ahli parlimen perlu hadir pada sidang kali ini kecuali dengan alasan kukuh.
Dalam perkembangan lain, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur giat menjalankan operasi sanitasi di Blok Utama, Parlimen Malaysi sebagai persiapan persidangan yang berlangsung 15 hari bermula esok.
PenggerakDaily