Categories
Berita

SINGAPURA BAKAL MILIKI KONDOMINIUM MEWAH PASANG SIAP TERTINGGI DI DUNIA

SINGAPURA: Singapura bakal memiliki bangunan kondominium mewah pasang siap yang tertinggi di dunia.
Dengan ketinggian mencapai 192 meter, projek kediaman Avenue South Residences itu kini dalam fasa pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2023, lapor portal berita CNN.

Sebahagian besar struktur pra-acuan kediaman mewah kendalian ADDP Architects itu sedang dibina di Johor, Malaysia menerusi kaedah pembinaan Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) yang kurang tenaga buruh dan dapat membantu mengurangkan pencemaran sampah dan pencemaran bunyi.

Modul kondominium mewah itu dihasilkan oleh sebuah kilang yang terletak di Senai, Johor sebelum unit-unit tersebut dipindahkan ke Singapura untuk dipasang dan dilengkapkan seterusnya dialihkan ke tapak pembinaan.

Menurut ADDP Architects, unit berkenaan dijangka siap 80 peratus sebelum ia selesai dipindahkan.

“Unit-unit berkenaan akan dilengkapkan menggunakan kren manakala sentuhan terakhir seperti memasang tombol pintu akan dikemas kini sebaik semuanya selesai,” kata rakan niaga firma berkenaan, Markus Cheng Thuan Hann.

Tujuan pangsapuri berkenaan dibina menggunakan kaedah pasang siap bertujuan mengehadkan kerja-kerja pembinaan dan gangguan kejiranan di lokasinya yang terletak di Bukit Merah.

Pada masa yang sama, kaedah berkenaan turut dilihat sesuai dengan keadaan semasa yang kini menyaksikan Singapura serta Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19.

SUMBER : AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *