Oleh: Ahmad Roi
Nun menghijau gunung ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira
Balik Kampung!
Oh, oh, oh Balik Kampung!
Best betul balik kampung zaman Sudirman. Semuanya bagaikan turut gembira walau lapar dahaga puasa. Balik kampung amalan wajib orang Malaysia menjelang raya.
Bagi anak rantau, sendu bertimpa sayu bertimpa hiba kalau tiket bas balik kampung habis. Ditambah sayup takbir bergema, pasti airmata berlinangan.
Amalan balik kampung dengan sambutan raya amat akrab. Dekat-dekat nak raya, semua cerekarama/telemovie bertemakan kisah balik kampung.
Macam-macam kisah; dari cerita anak derhaka tidak balik raya berpuluh tahun, kisah dirompak sekumpulan penyamun waktu balik kampung, sampailah kisah gaduh laki bini mahu balik kampung siapa dulu.
Masa berlalu. Suasana berubah. Balik kampung yang dulu suka tukar jadi duka. Semuanya bagaikan turut kecewa. Angkara trafik gerak perlahan, lebih malang trafik tidak bergerak.
Ya, belakangan ini masalah trafik jadi isu utama balik kampung. Masalah ini lebih besar dari isu balik kampung siapa dulu. Selain melibatkan orang ramai, masalah ini punca rakyat Malaysia menyambut raya di atas jalan raya.
Lebih tragik dari terperangkap berbelas jam atas jalan, balik kampung seakan medan perang lapar korban. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 20,982 kemalangan maut membabitkan 239 kematian pada musim Aidilfitri 2016.
Setahun kemudian jumlahnya bertambah kepada 22,402 kemalangan membabitkan 299 kematian. Saban tahun jumlah mangsa meningkat. Amalan balik kampung musim perayaan jadi trauma segelintir dari kita.
Benar, setiap masalah pasti ada punca. Setiap perkara berlaku pasti ada sejarahnya. Trafik tidakkan sesak padat tanpa sebab.
Statistik daripada PLUS pada 2017 merekodkan lebih daripada 2 juta buah kenderaan akan keluar dari bandar utama setiap kalli musim perayaan khususnya Aidilfitri.
Statistik itu dijangka meningkat 40 peratus pada tahun ini. Pastinya lambakan kereta di jalan raya penyebab kesesakan di beberapa jalan utama terutama di laluan mendaki dan laluan tiga lorong menjadi dua lorong.
Jangan silap baca. Masalahnya bukan sebab semua orang mahu pulang ke kampung menjelang raya, tapi semua orang balik dengan kereta masing-masing – asing-asing.
Merujuk data pendaftaran kenderaan persendirian dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pada 2010 sebanyak 20,188,565 unit kenderaan berdaftar. 26,301,952 unit pada 2015 dan meningkat kepada 28,181,203 unit pada 2017. Kalau dinisbahkan, setiap orang Malaysia ada sebuah kenderaan.
Nisbah ini terkait dengan budaya konsumerisme masyarakat moden. Moden ini idea tentang kenderaan tidak semudah sebagai alat pemudah gerak dari A ke B.
Zaman ini kenderaan jadi tanda sosial – di sebalik sebuah kenderaan terpamer darjat, status sosial, gaya hidup dll. Jadi, setiap orang wajib ada. Bagi yang tidak mampu boleh ikat 9 tahun. Bagi yang mampu, beli lagi untuk setiap anak yang sedang belajar. Bagi yang bujang dan baru bekerja pun wajib beli – tanda hidup makin maju, makin laju.
Ironi, kenderaan sebagai alat pemudah gerak akhirnya terperangkap dalam perjalanan menyambut aidil fitri. Mungkin petunjuk untuk kita renung balik fitrah kenderaan – hanya alat pemudah gerak dari A ke B.
PenggerakDaily