JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan membina sistem tebatan banjir daripada pembetung yang merentasi Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Rinting di sini dalam usaha menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar, Datuk Adib Azhari Daud berkata, projek jangka masa panjang itu mampu menampung serta memperlahankan aliran termasuk mengurangkan bebanan tampungan kuantiti air.
Menurut beliau, pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan membina sistem tebatan air yang sama memandangkan lokasi itu melibatkan sempadan kedua-dua pihak berkuasa tempatan.
“Pintu air bagi mengurangkan kekerapan banjir juga akan dibina, selain penyediaan pam kawalan banjir bagi menstabilkan kuantiti air di saliran milik MBJB dengan situasi air pasang surut di sungai-sungai hiliran.
“Pembinaan akan dimulakan bulan ini. Pendekatan pelan jangka panjang ini akan berpaksikan kepada kajian hidrologi yang mengambil kira pembangunan sedia ada dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi banjir bersama Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman di persimpangan Taman Rinting dan Bandar Seri Alam, di sini semalam.
Pada 21 November lalu, berlaku banjir di kawasan berkenaan dengan jarak sejauh kira-kira 1 kilometer sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.
Tambah Adib Azhari berkata, sampah sarap dan rumput dalam parit turut mengakibatkan aliran air tersumbat yang secara tidak langsung menyumbang kepada banjir kilat.
“Inisiatif segera akan diambil dengan melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan secara crossing culvert.
“Pelaksanaan ini turut melibatkan 11 lokasi lain termasuk di jalan-jalan negeri dan persekutuan dalam kawasan MBJB,” ujarnya yang turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan secara kerap agar banjir tidak berulang.
Penggerak Daily