JOHOR BAHRU: Sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksana polis tidak berkaitan dengan dakwaan kemungkinan berlakunya rusuhan ekoran ketiadaan kata putus berhubung penubuhan kerajaan pusat walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berlalu beberapa hari.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pelaksanaannya SJR itu sebaliknya bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam.
Sehubungan itu katanya, orang awam tidak perlu berasa bimbang dengan perkara tersebut kerana pelaksanaan SJR lebih tertumpu pada waktu malam.
“Dakwaan segelintir pihak kononnya SJR dibuat sebagai langkah persediaan dengan kemungkinan ancaman kekecohan adalah tidak benar, sebaliknya ini lebih kepada cegah jenayah dan menunjukkan kehadiran kita di tempat awam.
“SJR ini juga akan diteruskan sehingga satu tempoh masa ditetapkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani,” katanya selepas memantau pelaksanaan SJR di Jalan Skudai – Pantai Lido, Lebuhraya Iskandar, di sini malam tadi.
Tambah Raub, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang keluhan masyarakat tentang kesesakan dan kesukaran akibat daripada pelaksanaan SJR di beberapa lokasi utama negeri ini.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, SJR yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Johor tidak bertujuan menghalang pergerakan mana-mana individu.
Menurut beliau, masyarakat bebas bergerak ke mana-mana sahaja dan tidak akan dihalang pihak berkuasa di kesemua 22 SJR yang diwujudkan di negeri ini.
“Langkah Ini sebahagian daripada strategi pencegahan awal jenayah oleh polis, oleh itu orang awam tidak perlu berasa takut kerana sekatan jalan raya ini dibuat untuk keselamatan mereka.
“Dalam pada itu, masyarakat juga diminta untuk tidak mendengar sebarang khabar angin tidak benar tentang pelaksanaan SJR ini,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambah Kamarul Zaman, orang awam juga boleh melakukan pergerakan rentas negeri seperti biasa walaupun terdapat banyak SJR dibuat di seluruh negara.
“Jika mereka mampu membayar tol untuk menggunakan lebuh raya, jadi tidak ada sebab mengapa mereka tidak boleh pergi (Kuala Lumpur),” tambahnya.
Penggerak Daily