ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau seluruh Johor dilaksanakan secara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah yang hadir.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, arahan itu akan berkuatkuasa bermula 1 April ini.
Sehubungan itu katanya, setiap jemaah diminta membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya 3.5 kaki panjang dan 2 kaki lebar.
“Sementara itu, bagi mengimarahkan bulan Ramadan, solat sunat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir pula sebanyak 3 rakaat.
“Imam bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk ke 30 sahaja manakala imam jemputan perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Kadi Daerah terlebih dahulu.
“Sementara itu, edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Pengumuman Kadar Fitrah 2022, di sini hari ini.
Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md. Rofiki A. Shamsudin.
Sementara itu, Mohd. Fared turut memberitahu, hanya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor yang dibenarkan untuk berucap dalam kawasan masjid dan surau, manakala ucapan parti politik atau wakil rakyat tidak dibenarkan.
“Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau pula, program membudayakan Al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kelas takmir, taklimat dan kursus serta forum adalah dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam, termasuklah majlis zikir, selawat, wirid dan tarikat.
“Namun bagi aktiviti bermalam adalah ditangguhkan, manakala aktiviti masak-memasak masih tidak dibenarkan dengan semua jamuan dilaksanakan secara berbungkus sahaja.
“Jamuan berhidang dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi dengan tidak melebihi 50 jemaah sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan mendaftar di aplikasi MySejahtera masih dikekalkan.
Penggerak Daily