ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan solat Jumaat di musolla Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini di sini mendapat sambutan baik pelajar dan penduduk sekitar di kawasan berkenaan.
Ketua Pelajar SMK Medini, Muhammad Shahrul Shahreeza, 17, berkata, sebelum ini pelajar asrama di sekolah itu perlu menaiki bas yang disewa untuk pergi dan balik ke masjid yang jaraknya lebih daripada 7 kilometer.
Menurut pelajar tingkatan 5 berkenaan, dia juga teruja kerana melihat perjalanan solat Jumaat itu dilaksana sepenuhnya oleh guru-guru sekolah sendiri.
“Hari ini saya rasa bersemangat kerana dapat menunaikan solat Jumaat dengan kawan-kawan. Saya dan rakan-rakan asrama tidak lagi perlu menaiki bas beramai-ramai ke Masjid Kota Iskandar.
“Tetapi yang paling saya tidak sangka adalah solat Jumaat ini dilaksanakan guru-guru sekolah, mula-mula saya ingat guna khidmat imam daripada luar,” katanya kepada pemberita.
Seorang lagi pelajar sekolah berkenaan, Muhammad Affan Salleh, 17, pula memberitahu, pelaksanaan solat Jumaat di sekolah tersebut turut memudahkan urusan persekolahannya.
“Saya bersekolah sesi pagi dan pulang ke rumah menunggang ibu, jadi apabila solat Jumaat dibuat di sini, saya dapat terus solat dan pulang ke rumah selepas itu.
“Alhamdulillah, ia memudahkan dan saya berharap lebih banyak sekolah dibenarkan mengadakan sesi solat Jumaat pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengurus syarikat, Mohd. Nizam Nordin, 49, pula memberitahu, dia berharap musolla Jumaat di sekolah berkenaan akan terus dikekalkan sehingga bila-bila.
“Masjid terdekat di kawasan ini adalah Masjid Kota Iskandar dan masjid di Gelang Patah, namun jaraknya hampir 10 kilometer. Jadi apabila dimaklumkan musolla sekolah ini dijadikan tempat solat Jumaat, saya gembira.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, tetapi juga kepada golongan lelaki Muslim yang tinggal dan bekerja di kawasan berhampiran,” jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.
Penggerak Daily