JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas susulan pendedahan Perdana Menteri, DatuK Seri Anwar Ibrahim berhubung ketirisan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion ke parti dan tokoh tertentu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, SPRM dan PDRM perlu segera melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mendapatkan keadilan kepada rakyat Malaysia.
“Rakyat dan Ahli Parlimen akan menyokong usaha Perdana Menteri untuk membanteras Rasuah. Saya mengingatkan bahawa pendedahan demi pendedahan hal rasuah, ketirisan dan kebocoran tidak akan sampai ke mana-mana jika tiada tindakan siasatan dan pendakwaan dilakukan.
“Dalam memerangi rasuah, kaedah sekadar retorik sahaja tidak diperlukan. Apa yang diperlukan ialah siasatan secara forensik ke akar umbi hal ketirisan dan kebocoran itu berlaku kerana ini duit negara dan duit rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam majlis dialog Belanjawan 2023 di Putrajaya Selasa lalu menegaskan Malaysia mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion kebocoran dalam sistem perolehan kerajaan sekiranya amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.
Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, siasatan tersebut perlu diteruskan ke peringkat pendakwaan dan bukan sekadar didedahkan dengan kata-kata sahaja.
“Pendakwaan mesti dilakukan individu yang cekap serta professional dan kes yang akan dibawa ke mahkamah mesti kukuh daripada segi fakta dan undang-undang supaya penjenayah kolar putih ini tidak boleh terlepas.
“Walau apapun, permulaan yang baik dan positif telah diambil oleh Perdana Menteri. Maka agensi lain seperti SPRM, PDRM dan Jabatan Pendakwa Raya serta Peguam Negara tidak boleh berpeluk tubuh sahaja,” jelasnya.
Penggerak Daily