JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat mana-mana pemimpin politik sekiranya terdapat aduan dan bukti salah laku melibatkan mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan pihaknya bersifat adil dan telus dengan berdasarkan bukti-bukti yang telah dikumpul.
“Dalam menyiasat kesalahan melibatkan mana-mana parti politik, yang penting kita kena pastikan adakah parti berkenaan melakukan salah laku rasuah, kita memang boleh siasat tetapi apakah kesalahan yang berlaku.
“Dalam kes rasuah ini, secara prinsipnya ialah mana-mana pihak sekiranya menggunakan kuasa berkenaan untuk kepentingan diri atau mana-mana pihak lain ia satu kesalahan yang diklasifikasikan sebagai rasuah yang perlu disiasat SPRM.
“Oleh itu, mana-mana pihak yang kita akan siasat elemen berkenan perlu ada dalam aduan dikemukakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Johor, di sini hari ini.
Sebagai contoh, Azam berkata, sekiranya parti berkenaan tidak mempunyai kuasa atau apa-apa kepentingan, maka jika ada pihak memberi sumbangan ia tidak dikira melakukan sesuatu kesalahan pada asasnya, itu tidak dikatakan rasuah.
“Kalau sekiranya ada bukti kesalahan rasuah, kita siasatlah, tiada masalah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung cabaran dibuat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu SPRM turut menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung dana politik.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan berkata, gesaan itu bagi memastikan siasatan sumber dana politik dibuat secara adil dan sama rata dan bukan beliau seorang sahaja yang patut didakwa di mahkamah.
“Oleh kerana kedudukan saya sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), saya dilihat sebagai pencabar utama kepada Anwar dan Zahid yang tubuhkan kerajaan. Sebab itu, saya jadi mangsa pendakwaan politik terpilih dan terancang.
“Jadi, saya nak cabar SPRM supaya siasat Anwar dan Zahid. Mereka berdua adalah Presiden PKR dan UMNO. Tanya dia, siasat dia. Dari mana punca pendapatan sumber PKR dan UMNO dapat, dari mana sumber DAP dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Penggerak Daily