JOHOR BAHRU: Masyarakat awam khususnya penduduk di kawasan perumahan yang mempunyai program Skim Rondaan Sukarela (SRS) digalakkan untuk menyertai bagi meningkatkan perpaduan rakyat dan juga tahap keselamatan sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, program SRS terbuka untuk semua masyarakat tanpa mengira latar belakang, umur, agama mahupun fahaman politik mereka.
Menurut beliau, ia merupakan satu platform yang dapat menyatupadukan rakyat Malaysia.
“Di Johor ada 846 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dan daripada itu sejumlah 645 SRS telah ditubuhkan, bererti penduduk secara sukarela menjalankan tugas rondaan khususnya pada waktu malam, dan kerajaan negeri juga membantu daripada aspek sumbangan barangan keperluan.
“Dalam tempoh lima tahun ini, kerajaan negeri mensasarkan untuk menyalurkan bantuan kepada 450 pasukan SRS iaitu sebanyak 90 kawasan setiap tahun. Bantuan ini bukan sahaja melibatkan barangan keperluan tetapi juga kursus kemahiran bagi meningkatkan modal insan dan keberkesanan ahli SRS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Ziarah Perpaduan yang dianjurkan di Dewan Raya Felda Ulu Tebrau, di Ulu Tiram, dekat sini semalam.
Tian Soon turut memberitahu, menerusi program berkenaan, terdapat banyak unit yang boleh disertai penduduk antaranya Jiran Muda, Jiran Wanita dan juga Jiran Keselamatan.
“Aktiviti dalam SRS ini juga bukan melibatkan aspek rondaan keselamatan semata-mata sebaliknya pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan demi manfaat penduduk setempat di kawasan perumahan berkenaan.
“Ini juga selari dengan konsep diamalkan masyarakat sekarang iaitu ‘kita jaga kita’ dan dapat mengenali sesama jiran dan anggota masyarakat setempat,” ujarnya.
Penggerak Daily