BATU PAHAT, 5 Sept — Anak muda dan “orang lama” perlu bersama untuk memperkukuh perpaduan, bukan berjuang di bawah parti yang khusus untuk mereka, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.
Menurut Menteri Besar Johor itu, penubuhan parti khusus untuk orang muda juga memberi gambaran seolah-olah golongan tersebut tidak menghormati “orang lama”.
“ Anak muda di Johor sudah ada saluran untuk mengetengahkan suara mereka.
“Justeru tidak perlu terikut-ikut dengan sebuah parti khusus untuk orang muda seperti yang mahu ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katanya pada Pelancaran Jentera Pemuda BN Parlimen Sri Gading di Parit Raja di sini hari ini.
Minggu lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan dilaporkan berkata beliau tidak akan menyertai parti Pejuang yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya akan menubuhkan sebuah parti berpaksikan orang muda pelbagai kaum.
SUMBER : BERNAMA