Oleh: Editorial Penggerak Daily
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang, khas sebagai menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan di negeri ini yang secara berterusan bertungkus-lumus memerangi penularan COVID-19.
Baginda Tuanku Sultan bertitah, pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.
“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.
“Teruskan usaha baik anda semua, dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini dari terus menular,” titah Baginda Tuanku Sultan kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (4 Oktober).
Terdahulu, DYMM Sultan Johor berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.
Pada pertemuan itu, Dato’ Dr. Rahim turut mempersembahkan contoh Surat Akuan berkenaan kepada Baginda Tuanku Sultan.
Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan Bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat rekabentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.
DYMM Sultan Johor bertitah, pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak di mana, akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.
“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua-ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah Baginda.
PenggerakDaily