JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mengurniakan peralatan mesin perubatan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.
Menerusi satu kenyataan dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi baginda, pasangan diraja itu menyumbangkan dua mesin inkubator kepada HSA, manakala sebuah mesin dialisis untuk kegunaan HSI.
Penyerahan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamuddin Abdul Rahim.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, peralatan perubatan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya buat merawat pesakit di kedua-dua hospital berkenaan.
“Kami menjunjung kasih atas keprihatinan kepada pesakit kami di sini. Peralatan ini akan digunakan sebaiknya dalam rawatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Pengarah HSA, Dr. Mohtar Pugut@Ahmad dan Pengarah HSI, Dr. Azizah Riduan.
Penggerak Daily