JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berharap agar
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dirancang kerajaan adalah yang terakhir dibuat untuk mengawal pandemik Covid-19.
Malah baginda bertitah, sekiranya ia dilaksanakan, perintah itu harus dilakukan secara berkesan dengan memastikan orang ramai turut memainkan peranan bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasa.
“Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan Covid-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.
“Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.
“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titahnya.
Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi miliknya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan menilai semula PKP yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri mengalami peningkatan mendadak kes positif Covid-19.
Katanya, penilaian semula itu penting bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan diambil berkesan bagi membendung penularan pandemik itu yang semakin meningkat di negara ini dan di seluruh dunia.
Titah Sultan Ibrahim lagi, walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.
“Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.
“Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut. Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.
“Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita,” titahnya.
Sultan Ibrahim turut bertitah, agar agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan.
“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang. Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.
“Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin,” jelasnya.
Tambah baginda lagi, pihaknya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor dan baginda tidak mahu mendengar kisah sedih keluarga kehilangan ahli yang tersayang akibat wabak ini.
Penggerak Daily