JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isterinya, Ho Ching dengan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor, hari ini.
Baginda berkenan mengurniakan kepada Hsien Loong Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) manakala Ho Ching dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J.).
Darjah yang diberikan itu sempena lawatan rasmi baginda ke republik berkenaan, hari ini. Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Sementara itu, Sultan Johor turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang dari National University of Singapore (NUS) yang disampaikan Presiden Singapura, Halimah Yacob yang juga Canselor NUS.
Ijazah berkenaan sebagai mengiktiraf sumbangan Baginda terhadap penambahbaikan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.
Sementara itu, Taman Botani Singapura turut mempersembahkan orkid khas yang dinamakan sempena Baginda berdua iaitu ‘Ibrahim Zarith’ sebagai penghormatan di atas lawatan rasmi berkenaan dimana bunga Orkid merupakan bunga kebangsaan Singapura.
Bersempena lawatan rasmi selama dua hari itu, Sultan Ibrahim dijangka akan berangkat ke beberapa acara termasuk lawatan ke tapak Projek RTS di Woodlands, Institut Yusof Ishak (ISEAS) dan Pangkalan Udara Sembawang.
Manakala Permaisuri Johor akan turut berangkat mengadakan lawatan ke APSN Delta Senior School serta Muzium Tamadun Asia.
Penggerak Daily