JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk kepada empat individu.
Menerusi satu kenyataan dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi baginda, majlis penganugerahan itu dikurniakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan Ke-62 pada hari ini di Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani.
Anugerah berkenaan dikurniakan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Salehuddin Hassan; Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Aman Rabu; Mejar Cina, David Wong Khoong Soon dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Avinderjit Singh Harjit Singh.
Menurut kenyataan itu, David Wong merupakan keturunan Wong Ah Fook dan dilantik sebagai Mejar Cina di atas perkenaan Sultan Ibrahim, September lalu.
Beliau menjalankan tugas dan bekerjasama dengan YSIJ dalam menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan kurniaan barangan keperluan makanan kepada Bangsa Johor.
Penggerak Daily