JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO perlu berhenti memperdaya rakyat Malaysia dengan alasan dan tipu helah.
Penafian itu dibuat dalam satu kenyataan ringkas yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam gambar di bawah.
“Ini adalah satu kenyataan palsu disebarkan mereka yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan tersebut.
Sultan Ibrahim bertitah, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda atau keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor) di laman sosial rasmi.
“Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan di dalam media sosial,” titah baginda.
Terdahulu, tular sekeping poster yang memaparkan gambar Sultan Ibrahim seolah-olah baginda pernah bertitah membuat kenyataan berkenaan.
“Kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah,”.
Baru-baru ini, pentadbiran kerajaan kembali kepada UMNO apabila Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.
Beliau menjawat jawatan berkenaan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat.
Penggerak Daily