PASIR GUDANG: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG) di Pasir Gudang, di sini hari ini.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Stesen Janakuasa SPG yang dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant itu merupakan loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap dihasilkan oleh General Electric (GE).
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi baginda, teknologi pembakaran bahan api gas aslinya mampu menghasilkan 60 peratus tenaga elektrik dimana kecekapan turbin gas berteknologi tinggi itu mampu menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.
“SPG yang berkonsepkan kitar padu itu telah siap sepenuhnya dan memulakan operasi komersial pada 1 Januari 2021.
“Pembinaan SPG dengan kos RM4.7 bilion ini adalah gabungan usaha sama diantara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SIPP Energy Sdn. Bhd.,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, projek itu akan menjadi satu mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air.
“Dengan beroperasinya stesen ini, ia secara tidak langsung merancak dan menggalakkan lagi usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.
“Stesen ini juga menyediakan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik yang mencukupi, berdaya harap serta stabil, sekaligus mampu meyakinkan pelabur untuk mengeluarkan modal bagi menjalankan perniagaan di Johor,” tambah kenyataan itu.
Penggerak Daily