JOHOR BAHRU: Kesempatan hidup pemandu bas di negeri ini akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan mereka mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan bantuan makanan kepada seramai 99 pemandu bas yang terdiri daripada ahli Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Negeri Johor.
Presiden PMPPB, R. Thiagarajan berkata, industri pengangkutan bas sememangnya menerima kesan besar akibat pandemik Covid-19.
“Sebilangan besar pengusaha serta pemandu bas hilang punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Ramai pemandu bas yang berpengalaman telah berputus asa dan berpindah ke bidang lain, jadi bantuan ini amat membantu untuk ahli-ahli kami yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Perkara itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Tambah Thiagarajan, dalam usaha memastikan ahli persatuan itu masih dapat mencari rezeki dalam tempoh mencabar ini, pihaknya telah memperkenal Inisiatif Progam Bas Mobil Vaksinasi.
“Inisiatif ini dilaksana dalam usaha membantu ahli menjana pendapatan sambil membantu kerajaan melaksanakan program vaksinasi dengan lebih mudah dan cepat, terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pihak yang memerlukan.
“Saya mewakili ahli persatuan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan atas jasa baik Baginda,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily