JOHOR BAHRU: Pejabat Kadi Daerah di negeri ini perlu mengambil tindakan tegas dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19 khususnya di masjid dan surau seluruh negeri.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar langkah itu diambil dalam kadar segera memandangkan berlaku peningkatan kes di negeri ini.
Titah itu disampaikan Sultan Johor kepada Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad pada hari ini berikutan terdapat beberapa pegawai, ahli jawatankuasa dan jemaah di masjid serta surau di beberapa daerah disahkan positif Covid-19 dan diarahkan kuarantin.
Yahya berkata, baginda menitahkan supaya kadi daerah sentiasa merujuk Pegawai Kesihatan Daerah dan Pegawai Daerah untuk mengenal pasti kawasan, kampung atau taman yang disyaki berlaku jangkitan Covid-19.
“Sekiranya ada pegawai, ahli jawatankuasa dan jemaah disahkan positif, hendaklah diarahkan melakukan sanitasi secara segera di seluruh premis berkenaan.
“Jika dibimbangi menyebabkan penularan kepada orang lain, kadi boleh mengarahkan supaya masjid dan surau terlibat menghadkan kehadiran jemaah untuk solat lima waktu atau solat jumaat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, jika keadaan kritikal serta dibimbangi sukar dikawal, kadi boleh mengarahkan masjid atau surau ditutup untuk tempoh yang munasabah supaya tindakan boleh diambil sehingga keadaan kembali pulih.
“Jemaah di kariah berkenaan boleh diarahkan supaya mengerjakan solat di kediaman masing-masing.
“Kadi juga perlu terus memberi peringatan agar ahli jawatankuasa masjid dan surau sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” ujarnya.
Penggerak Daily