ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa 100 peratus sumbangan diterima dalam kempen solidariti Palestin akan disalurkan kepada penduduk Gaza yang sedang dilanda serangan rejim Zionis.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sumbangan tersebut disampaikan pihaknya melalui Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin kelolaan Kementerian Luar Negeri.
Menurut beliau, setakat 19 November lalu, pihaknya telah menyerahkan sejumlah RM2.58 juta sumbangan rakyat negeri ini.
“Alhamdulillah, 100 peratus kutipan kita terima disampaikan kepada kementerian, dan saya yakin jumlah itu juga sampai kepada penduduk Gaza sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada penduduk Felda Pengeli Timur yang disampaikan Pengerusi Masjid Darun Nadwa, Saiddin Othman.
Sehubungan itu, Mohd. Fared menasihatkan orang ramai agar memilih institusi yang diabsahkan untuk menyalurkan sumbangan mereka demi manfaat rakyat Palestin.
“Saya seru rakyat Johor orang awam supaya terus salurkan sumbangan kepada tabung Palestin dibawah Kementerian Luar Negeri Malaysia berbanding mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan yang mendakwa ada akses ke Gaza atau Tebing Barat.
“Kita mesti yakin dengan kementerian kita dan itulah yang kerajaan Johor lakukan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut memberitahu pihaknya masih menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan akan memaklumkan jumlah kutipan terkini pada pertengahan Disember ini.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu sesi sidang DUN Johor hari ini turut menerima kunjungan seramai 15 pemerhati terdiri daripada mahasiswa Palestin.
Penggerak Daily