ISKANDAR PUTERI: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menerusi entiti SWM Kasih telah menyantuni 50 buah keluarga daripada golongan B40 di sekitar Johor Bahru dan Kluang dalam program pengagihan Pek SWM Kasih Deepavali.
Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program itu merupakan salah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihaknya.
Menurut beliau, setiap Pek SWM Kasih Deepavali mengandungi barangan keperluan dapur dan pelitup muka, bersesuaian dengan keperluan semasa ketika ini.
“Program ini bertujuan untuk meringankan beban penerima yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negara ini.
“Selain itu, program ini juga dianjurkan bagi berkongsi kemeriahan perayaan Deepavali yang diraikan penganut agama Hindu baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan SWM Environment kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan sebagai simbolik program di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini.
Turut hadir, Pengurus SWM Environment Wilayah Johor, Mohd Zan Arris.
Tambah Mohd. Norlisam lagi, faktor semasa tidak menghalang SWM Environment melunaskan tanggungjawab sosial korporat mereka berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Sebaliknya kerjasama yang sedia terjalin dengan pemimpin tempatan dimanfaatkan bagi memudahkan proses pengagihan sumbangan SWM Kasih secara terus kepada golongan sasar,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily