JOHOR BAHRU: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) akan menggantikan 398 tong sampah beroda (TSB) yang rosak dan hanyut akibat banjir di 17 lokasi sekitar daerah ini.
Pengurus Besar Korporat, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, Inisiatif Penggantian Tong Sampah Beroda Akibat Bencana Banjir itu dibuat bagi memastikan operasi kutipan sisa pepejal tidak terjejas.
“Pengedaran TSB akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan seluruh rumah dan kedai di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor yang terjejas akibat banjir.
“SWM Environment memutuskan inisiatif penggantian TSB tersebut dilaksanakan secara terus ke rumah dan kedai mangsa banjir berdasarkan maklumat yang dikumpulkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Katanya, pelaksanaan situ sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 di Johor sekali gus bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.
Beliau berkata, inisiatif itu sebagai pelengkap kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment sepanjang tempoh bencana banjir melanda negeri ini.
Tambah beliau, banjir di Johor pada bulan lalu menyaksikan 444.821 tan metrik sampah dibersihkan melalui Operasi Bantuan Banjir.
Menurutnya, 500 keluarga mangsa banjir pula menerima pengagihan sumbangan SWM Kasih Bantuan Banjir sejak pertengahan bulan lalu.
Penggerak Daily