JOHOR BAHRU: Seorang penternak kambing dan lembu di Kampung Maju Jaya, Jalan Kempas Lama di sini bersyukur apabila haiwan ternakannya selamat daripada kejadian banjir, semalam.
Dalhar Mohamad, 64, berkata, dia hanya mampu berserah apabila air naik dengan deras selepas Sungai Tebrau melimpah sehingga menenggelamkan kawasan sekitar.
Katanya, walaupun kambing dan lembunya tidak terjejas, dia tetap menanggung kerugian apabila kediamannya dinaiki air setinggi paras pinggang.
“Saya dan anak mula menternak kambing dan lembu sejak 2015, mujurlah kandang kambing dibina lebih tinggi daripada kebiasaan. Tujuannya adalah bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan najis dan juga mengelakkan banjir.
“Jadi ketika banjir semalam, kandang kambing tidak terjejas manakala sebahagian daripada kandang lembu ditenggelami air, kami hanya mampu pasrah kerana tidak sebab mengeluarkan lembu-lembu daripada kandang, Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya kepada pemberita.
Tambah Dalhar, selain kerosakan pada perabot rumah, tanaman cili sebanyak 200 pokok juga musnah apabila kawasan tersebut turut ditenggelami air.
Sementara itu, kejadian banjir yang berlaku itu turut menyebabkan kerugian kepada sebuah bengkel motosikal yang terdapat bersebelahan kawasan kandang haiwan berkenaan.
Pembantu bengkel, Azizzul Mohd. Ismail, 35, pula memberitahu, banjir semalam menyebabkan sebahagian barangan dan alatan ganti motosikal rosak.
“Ada bahagian yang masih dapat digunakan namun perlu dipilih dengan teliti dan dibersihkan terlebih dahulu. Tetapi barangan yang rosak tidak boleh digunakan lagi, memang rugi sedikit.
“Kita pun tidak jangka kawasan ini akan dinaiki air, walaupun bersebelah dengan Sungai Tebrau yang jaraknya tidak sampai 10 meter tetapi kali terakhir kawasan ini dinaiki air setinggi ini adalah pada tahun 2006 lalu,” ujarnya.
Penggerak Daily